KBS belum tetapkan sasaran pingat Olimpik

Oleh Bernama 3 Jun 2020 45
KBS belum tetapkan sasaran pingat Olimpik
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih belum menetapkan sasaran pingat negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo, selepas persiapan atlet ditangguhkan susulan penularan pandemik COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, seramai 36 atlet telah dikenal pasti untuk menyertai Sukan Olimpik, namun proses kelayakan mereka telah terjejas, akibat pembatalan temasya sukan antarabangsa berkenaan.

Menurutnya, setakat ini 12 atlet telah layak dan selebihnya dalam proses untuk melayakkan diri ke Tokyo, Jepun.

“Kita akan lihat perkembangan mereka setelah sesi latihan program ‘Road to Tokyo’ (RTT) yang telah bermula dengan sukan badminton. Setakat ini masih terlalu awal untuk saya umumkan sebarang sasaran negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Bisik Kuala Muda, di sini hari ini.

“Sukan berbasikal melalui Azizul Hasni Awang ataupun sukan badminton melalui Lee Zii Jia, dan pasangan beregu campuran, mereka semua berada di kedudukan yang bukan sahaja menyumbang pingat, tetapi mungkin berkeupayaan menyumbang emas,” katanya.

Selain itu Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, kebenaran latihan untuk acara-acara sukan lain akan diteliti oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata, MSN dan MOM akan mengumpulkan semua prosedur operasi standard (SOP), yang dikemukakan badan-badan sukan kebangsaan yang lain, sebelum mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita akan mengemukakan permohonan rasmi seandainya kita perlu membuat permohonan untuk mendapatkan kelonggaran kepada sukan tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Comment