Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, mempertahankan tindakan tidak menghantar atlet untuk menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Finland, yang menyaksikan pelari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri, mencipta sejarah menjuarai acara 100 meter lelaki.

Lalu mencatat sejarah selaku pelari Asia Tenggara pertama menjuarai acara 100m lelaki dalam Kejohanan Remaja Dunia dengan catatan 10.18 saat, sekali gus menyamai rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan.

Situasi itu meletakkan pelari berusia 18 tahun berkenaan muncul calon yang layak ke final acara reben biru Sukan Asia Indonesia, bulan depan.

Apa yang mengecewakan, Malaysia tidak menghantar atlet ke Finland walaupun seramai lima atlet melepasi had kelayakan.

"Sebelum ini, sepatutnya skuad negara menyertainya tetapi disebabkan kekangan dana, ia terpaksa dibatalkan. Pihak Majlis Sukan Negara (MSN) memberitahu kami bahawa tiada peruntukan untuk atlet negara," kata Karim.

Ketika ini, skuad pecut negara yang diketuai Khairul Hafiz kini sedang giat menjalani latihan dan menyertai kejohanan di Jerman.