Cuaca sejuk hingga mencecah 0 darjah celcius jadi cabaran kepada pelumba Team Sapura Cycling (TSC) pada peringkat pertama Jelajah Turki yang berlangsung di Konya sejauh 72.4 kilometer.

Pelumba domestik, Muhammad Nur Aiman Rosli, muncul yang terbaik untuk TSC apabila menamatkan cabaran di tangga ke-104 berbanding 172 pelumba yang beraksi.

Ternyata, cuaca sejuk menghalang pelumba TSC untuk bersaing dengan pasukan berstatus World Team seperti Astana Premier Tech, Team Quick Step dan Israel Start-Up Nation.

Pelumba Rally Cycling, Arvid de Kleijn muncul juara dengan catatan 1 jam 35 minit 38 saat.

"20 minit pertama perlumbaan agak sukar kerana berdepan masalah menyesuaikan diri dengan perlumbaan dan cuaca di sini terlalu sejuk jadi ia menyukarkan kami menampilkan kayuhan terbaik," kata pelumba TSC, Akmal Hakim Zakaria.