Jelajah Semenanjung yang berlangsung selama lima hari hingga semalam mempunyai potensi naik status apabila meraih mata penuh daripada segi penganjuran dalam penilaian Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Jelajah Semenanjung melalui beberapa kemelut pada awal perlumbaan seperti terpaksa mengubah laluan membabitkan negeri Kelantan dan juga ketibaan pasukan dari Jepun yang menghadapi kesukaran akibat Taufan Hagibis.

Bagaimanapun, UCI berpuas hati dengan penganjuran kejohanan itu dan memberi bayangan Jelajah Semenanjung mempunyai potensi untuk dinaikkan status dalam edisi yang akan datang.

"Semalam, saya bermesyuarat dengan panel penganjuran dan kami diberikan mata penuh oleh semua wakil yang hadir," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jelajah Semenanjung, Emir Abdul Jalal.

Penganjur Jelajah Semenanjung turut mengambil pendekatan menyerahkan hadiah wang kemenangan selepas peringkat akhir perlumbaan dan Emir berharap ia mampu menjadi contoh kepada semua pihak dalam menganjurkan perlumbaan lain.

"Beberapa perkara yang kami cuba ketengahkan. Sebagai contoh, semua pasukan yang menang diberikan hadiah secara tunai semalam."

Kinan Cycling Team meraih hadiah wang kemenangan RM61,379.50 selepas pelumbanya, Marcos Garcia, meraih jersi kuning dan muncul juara berpasukan keseluruhan.