Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, akan menempatkan sekitar 40 pegawai untuk memantau ketiga-tiga kluster latihan atlet kebangsaan jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan cadangan untuk mereka memulakan latihan bermula 1 Jun depan.

Kehadiran pegawai sokongan itu penting untuk memastikan atlet, jurulatih dan pegawai persatuan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) jika ketiga-tiga venue kluster berkenaan dibuka untuk sesi latihan.

Cadangan itu sudah dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk dibentangkan kepada MKN selepas sambutan Aidilfitri hujung bulan ini.

"Kami memang ada pasukan khas buat Program Road to Tokyo (RTT) di Langkawi, Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya seperti yang dilaporkan Nadi Arena.

"Pasukan itu diperuntukkan khas untuk memberikan perkhidmatan dan nasihat buat atlet dalam program RTT."

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, menambah: "Walaupun latihan itu adalah satu perkara yang penting, kita juga perlu melihat kepada kebajikan mereka-mereka yang terlibat di samping meletakkan keselamatan mereka sebagai satu perkara yang amat penting.

"Kami akan melihat maklum balas yang diterima dan sekiranya kami perlu melakukan penambahbaikan, kami akan melakukannya."