Atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, menaruh keyakinan tinggi terhadap peluangnya untuk meraih pingat dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, dari 4 hingga 15 April tahun depan.

Keyakinan itu berdasarkan kedudukan semasanya dalam ranking yang membabitkan peserta negara Komanwel, di mana dia berada di kedudukan lima terbaik.

Lantaran itu, dia perlu memastikan berada di tahap terbaik dengan perancangan awal sudah pasti menjalani kem latihan di Australia tidak lama lagi.

"Setakat ini, kedudukan saya dalam Komanwel adalah lima terbaik. Jadi, ada peluang cerah untuk saya memperoleh medal.

"Sebelum itu, kami akan menyertai siri pertandingan di Australia. Maka, di sana banyak perkara yang kami akan perbaiki daripada segi teknik mahupun kekuatan.

"Insya-Allah, di sana juga, mungkin saya akan ada rakan pelatih yang baru," katanya.

Irfan adalah antara atlet yang cemerlang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila berjaya mempertahankan emas menerusi catatan 58.36 meter.

Namun, ia jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 61.10 meter.

Apa yang pasti buat Irfan, dia mahu memastikan musim 2018 tidak lagi dibelenggu dengan masalah kecederaan yang mampu menjejaskan persembahannya.

"Saya yakin saya boleh buat lebih baik daripada itu (Sukan SEA), dan apa yang kurangnya daripada musim lalu.

"Saya mempunyai kecederaan di bahagian belakang dan buku lali. Perkara itu yang mengganggu persembahan saya."

Pencapaian:

• Emas Sukan SEA 2013, 2015 & 2017
• Emas Kejohanan Kelab Slovak 2016
• Perak Kejohanan Olahraga Asia 2017
• Perak Kejohanan Olahraga Linz 2017
• Gangsa Kejohanan Halleche Werfertage 2017
• Gangsa Kejohanan Olahraga Liese Prokop Memorial 2016
• Gangsa Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2014