Persaingan merebut tempat bagi perseorangan utama lelaki skuad boling padang negara semakin hangat menjelang Kejohanan Dunia di Gold Coast, Australia, tahun depan.

Terbaru, Muhammad Hizlee Rais membuktikan potensi apabila menewaskan Mohamad Fairus Abd Jabal 21-10 untuk menjuarai Kejohanan Empat Penjuru di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, hari ini.

Hizlee yang mewakili skuad Asia mendahului sejak end pertama selepas pemenang pingat emas perseorangan lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu bijak melakukan draw bagi menghampiri jack untuk mengutip mata demi mata.

Fairus cuba bangkit di hujung permainan namun drive yang dilakukannya menjerat diri sendiri sekali gus menghadiahkan mata kemenangan kepada pencabarnya itu.

Kemenangan itu bermakna Hizlee bangkit daripada kekalahan kepada lawan yang sama bagi pemilihan Kejohanan Dunia/Asia di venue sama, bulan lalu.

"Pasukan ini terdiri daripada 10 atlet lelaki dan 10 wanita.

"10 pemain ini adalah dalam kalangan terbaik dan tidak kira siapa pun yang terpilih kelak, Malaysia pasti mampu memberikan yang terbaik," kata Hizlee.

Fairus pula berpandangan: "Dalam perlawanan tadi, dia mampu memberikan saya saingan sengit dan sentiasa menghambat mata, jadi saya tidak mampu berbuat apa-apa dalam situasi itu."

Skuad negara masih mempunyai tiga kejohanan dalaman tahun ini sebagai pemilihan ke Kejohanan Asia dan Dunia tahun depan.

Kali terakhir Malaysia meraih emas di pentas dunia ialah menerusi Safuan Said pada 2008.

"Saya sedang menilai bukan sahaja terhadap pemain perseorangan, malah dua kategori lagi sebab melalui (pelantar) Kejohanan Dunia, hanya yang terbaik sahaja yang akan di bawa ke Sukan Komanwel 2022," ujar ketua jurulatih negara, Zuraidi Puteh.