Li Haotong berkeras bahawa dia tidak menaruh harapan meskipun menerajui pusingan kedua Kejohanan Golf Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS).

Pemain berusia 25 tahun itu berpeluang muncul selaku pemain lelaki China pertama untuk memenangi kejohanan utama selepas mencatat lima di bawah par 65 di TPC Harding Park, San Francisco, sebentar tadi.

Selepas merakam pusingan pembukaan 67 pukulan, Li melebarkan pencapaian itu dengan lapan di bawah par untuk mendahului dua pukulan.

Dia mengelak sebarang bogey dalam pusingan itu sambil melakukan lima birdie untuk mendahului saingan di depan Brooks Koepka (68), Jason Day (69), Tommy Fleetwood (64), Daniel Berger (67), Justin Rose (68) dan Mike Lorenzo-Vera (68).

"Saya tidak meletakkan sebarang harapan kerana beberapa bulan lalu saya hanya duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa," katanya.

"Saya hanya ke mari untuk menikmati keseronokan.

"Saya tidak fikir mampu menghasilkan persembahan seperti ini minggu ini, apatah lagi saya tidak mempunyai keyakinan.

"Mungkin ia membantu saya untuk membebaskan sedikit bebanan di minda pada minggu ini."



Usaha Koepka untuk memburu gelaran ketiga berturut-turut masih kekal di landasan biarpun pemain tuan rumah itu memerlukan rawatan di bahagian pinggulnya ketika pusingan kedua.

Juara utama empat kali itu menyempurnakan lubang terakhirnya untuk terikat di kedudukan kedua di samping enam peserta lain.

Day, yang berkongsi pendahuluan di samping Brendon Todd (70), semalam, antara pemain yang menghadapi masalah cuaca.

Namun, tiada pemain lain mampu menyaingi Li, yang menghabiskan masanya selama berjam-jam untuk berlatih biarpun pusingan itu sudah berakhir.