Atlet gimrama negara, Amy Kwan, berharap penampilan kali terakhir dalam Sukan Komanwel tahun ini akan berakhir dengan kilauan pingat emas yang mampu dikenang sebelum memberi peluang kepada atlet muda lain pada masa akan datang.

Dia yang meraih gangsa dalam Sukan Komanwel Glasgow 2014 sudah pasti ingin menukarnya kepada emas, apatah lagi ia bakal menjadi temasya terakhir untuknya.

Amy mahu mencipta sesuatu yang manis untuk dikenang di ?Gold Coast ketika ini kerana adalah mustahil untuknya terus beraksi di pentas Komanwel pada usia 27 tahun dalam masa empat tahun akan datang.

Situasi itu dilihat susulan tidak ramai gimnas negara yang masih mampu beraksi ketika usia 25 tahun ke atas dan sudah tiba masanya untuk atlet muda mengambil giliran untuk menyerlah selepas ini.

"Saya tahu keajaiban boleh berlaku kerana ada atlet yang beraksi sehingga umur mencecah 30 tahun tetapi sehingga kini, Malaysia masih belum memiliki atlet sebegitu.

"Jika saya dapat mencapainya, ia bagus tetapi setakat ini, saya hanya mahu fokus kepada Sukan Komanwel padakali ini," kata Amy.

Sementara itu, seorang lagi atlet gimrama negara, Koi Sie Yan, yang mengetuai barisan atlet gimrama negara ke Gold Coast, nyata mengambil serius penyertaan kali pertamanya di pentas Komanwel dan sedar akan sandaran yang diberikan kepadanya untuk melakar kejutan selepas muncul gimnas paling cemerlang dalam Sukan SEA 2017 dengan empat emas.

"Saya sangat gembira untuk menghadapi aksi di Gold Coast dan berharap dapat membawa pulang pingat buat negara," ujar Sie Yan.