Jurulatih lompat tinggi negara, Alexander Gasparyan, sedia membimbing Nauraj Singh dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan dengan pemegang rekod kebangsaan itu yang berjauhan dengan jurulatihnya sejak 2015.

Sentuhan Gasparyan berjaya membantu Lee Hup Wei meraih tangga kelapan Kejohanan Olahraga Dunia 2019 minggu lalu dengan ketinggian 2.29 meter.

Ia mengundang keinginan Nauraj untuk mencuba sentuhan jurulatih kelahiran Uzbekistan itu selepas lima tahun berguru dengan Alex Steward dari Australia.

Perkembangan itu disambut baik Gasparyan.

"Tiada masalah bagi saya. Saya sedia melatih Nauraj bersama Hup Wei selepas ini," katanya.

Nauraj berlatih dengan Steward sejak 2015, namun secara jarak jauh kerana jurulatih itu mempunyai komitmen lain di Australia dan sekadar berhubung menerusi emel.

Sementara itu, Hup Wei turut menyambut baik untuk kembali berlatih bersama Nauraj.

"Saya tidak boleh mengulas terlalu banyak mengenai Nauraj berlatih dengan jurulatih yang berbeza. Kehadirannya dalam sesi latihan di bawah kendalian Gasparyan akan memberikan persaingan yang sihat di antara kami," ujarnya.