Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan sasaran tinggi ke atas Fatehah Mustapa selepas bekas ratu berbasikal trek negara itu diumumkan sebagai jurulatih program pelapis wanita kebangsaan.

Fatehah perlu memastikan pelumba pilihannya menerusi program pencarian bakat mampu menyumbangkan pingat dalam Kejohanan Trek Remaja Dunia dan Asia 2024.

"Berdasarkan rekod, kami pernah memenangi pingat menerusi kategori lelaki, jadi saya harap dia dapat melakukan sesuatu.

"Kejohanan ini boleh dijadikan batu loncatan buat mereka untuk ke peringkat senior," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jeffri Ngadirin, dalam sidang media di Bukit Jalil hari ini.

Fatehah akan membantu ketua jurulatih, Suod Kassim, untuk menggilap bakat baru menerusi lima program ujian di seluruh negara.

Sasarannya adalah mengumpul 100 pelumba trek wanita bagi menjalani ujian spesifik di Velodrom Nilai, Negeri Sembilan, pada bulan depan sebelum jumlah itu dikurangkan kepada 15 orang.

Kelompok itu juga akan dijaga dengan rapi termasuk ditawarkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Ibu bapa tidak perlu risau sebab kami akan jaga mereka tetapi ia terpulang kepada diri sendiri.

"Mereka perlu berdikari kerana saya dulu pun mula merantau pada usia 14 tahun sementara 18 tahun ke Australia.

"Semuanya atas diri sendiri, saya dan cikgu akan beri panduan daripada segi keperluan mereka.

"Kami akan pastikan mereka dalam keadaan selamat," kata bekas pelumba kelahiran Terengganu itu.