Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) mengagihkan sejumlah RM500 dalam misi membantu bekas atlet negara yang terkesan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu adalah inisiatif YAKEB yang sentiasa bersedia dalam membalas jasa bekas atlet negara yang pernah mencurah bakti terhadap sukan tanah air.

Menurut Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majid, pengagihan bantuan fasa pertama sudah bermula Khamis lalu yang menyaksikan bantuan fasa kedua akan pula diagihkan kepada 50 lagi bekas atlet negara.

YAKEB turut menyeru supaya bekas atlet yang hilang punca pencarian sepanjang PKP ini supaya segera menghubungi badan induk itu.

"Saya harap bekas-bekas atlet boleh lawati laman sesawang YAKEB untuk mendapatkan maklumat bagi mendapatkan bantuan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Bantuan ini tidak terhad di semenanjung Malaysia sahaja, malah termasuk Sabah dan Sarawak," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Norhaliza Hamzah, hari ini.

Antara atlet yang menerima bantuan adalah bekas pesilat negara, Zainudin Mohd Nawi, bekas atlet sepak takraw, Anis Nadia Jefri dan Muhamad Kamal Ishak.

"Terima kasih kepada kerajaan, menteri belia dan sukan serta YAKEB sebagai agensi pelaksanaan.

"Saya harap semua orang dapat patuhi arahan kerajaan demi kebaikan kita bersama," kata Kamal.