Pertarungan di antara Khabib Nurmagomedov dan Tony Ferguson bagi perebutan tali pinggang lightweight akan diteruskan di sebalik tiga aksi UFC yang lain ditangguhkan akibat pandemik koronavirus baru (Covid-19), demikian umum Dana White.

Pertarungan ke-170 di Brasilia Sabtu lalu berlangsung tanpa penyokong manakala situasi di United Kingdom mendorong kejohanan UFC di London Sabtu ini beralih venue.

Presiden UFC itu berjaya mendapatkan lokasi alternatif dan pengganti kepada Leon Edwards yang sepatutnya menghadapi bekas juara welterweight, Tyron Woodley, iaitu Gilbert Burns.

Begitupun, atas nasihat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam yang melarang perhimpunan yang melebihi 10 orang memaksa White membatalkan tiga kejohanan yang akan datang.

Dia, bagaimanapun, tetap yakin pertemuan Nurmagomedov dengan Ferguson -- yang belum pernah terjadi sebelum ini di sebalik empat percubaan -- akan diteruskan meskipun perlu dipindahkan dari Brooklyn ke negara berbeza.

"Kami bersedia untuk turun beraksi di Arena Fire Lake Sabtu ini, Bandar Raya Oklahoma. Kami sudah mengaturkannya, kami mempunyai peserta dan kami ada segalanya," kata White kepada ESPN.

"Tetapi presiden AS baru sahaja mengeluarkan arahan kepada negara dan secara dasarnya bermaksud -- hanya 50 orang dibenarkan berhimpun jadi ia sudah menyukarkan kami.

"Oleh itu, kami mengetepikan semua peminat dan memastikan hanya ada beberapa pekerja sahaja yang terbabit di gelanggang itu. Namun, kami terpaksa membatalkannya Sabtu lalu. Sekarang, hanya 10 orang sahaja dibenarkan berhimpun dalam satu-satu masa.

"Ia mustahil. Kami tidak boleh melakukannya. Kami telah mematuhi semua arahan kerajaan dan doktor tetapi kami tidak lagi mempunyai pilihan melainkan menangguhkan pertarungan ini.

"Kami telah menangguhkan tiga kejohanan yang akan datang tetapi aksi di antara Tony Ferguson dengan Khabib 18 April depan masih akan berlaku.

"Ketiga-tiga pertarungan lain telah ditangguhkan tetapi aksi Khabib -Tony akan tetap diadakan dan mereka sudah bersedia dengan tarikh asal itu.

Beliau menambah: "Kami akan mematuhi garis panduan ini dan kami berharap semuanya akan mendapat pencerahan bulan depan. Pertarungan ini (Nurmagomedov dan Ferguson) akan tetap berlaku biarpun tanpa penyokong. Ia mungkin tidak akan diadakan di AS, tetapi ia pasti akan berlaku."