Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April depan menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil inisiatif baru bagi memastikan atlet negara terus berada di tahap terbaik walaupun hanya berlatih di rumah.

"MSN telah mula menghantar peralatan kepada atlet untuk menjalani latihan masing-masing.

"Fokus tertentu terdiri daripada atlet seperti pemanah yang memerlukan peralatan di pusat latihan kami.

"Ia tidak melibatkan atlet normal sahaja, malah termasuk atlet para," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, kepada wartawan Nadi Arena, Wan Muiz Wan Aziz, mengenai persiapan ketika dunia dilanda wabak koronavirus baru (Covid-19).

Atlet tetap meneruskan program persiapan dengan menjalani latihan di kediaman mereka tetapi agak terbatas.

Justeru, Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, berharap usaha itu dapat memberi manfaat kepada atlet untuk mengekalkan kecergasan tinggi.

"Kami dalam proses menghantar peralatan kecergasan kepada atlet berbasikal (tempatan).

"Azizulhasni Awang dan Firdaus Shah Sahrom (berbasikal trek) sudah ada (kemudahan) gimnasium di Melbourne, Australia.

"Kami cuba bantu atlet yang berlatih di dalam negara dengan menyediakan alatan yang jurulatih rasakan penting (kepada mereka)," katanya.

Walaupun fasa ketiga PKP menyaksikan beberapa industri akan dibenarkan kembali beroperasi bagi memudahkan seluruh rakyat negara, Shapawi menjelaskan masih belum tiba masa untuk MSN membuka pusat latihan ataupun merancang latihan terkawal bagi atlet berdasarkan situasi semasa.

"Kami sedang bincangkan kerana Perdana Menteri, Tan Muhiyiddin, menjangkakan tempoh PKP yang lebih lama.

"Tetapi kami berpandu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kami akan mendapatkan nasihat kepada mereka yang lebih mahir dalam perkara tersebut."