Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mewujudkan satu dana khas untuk memberi bantuan kewangan kepada anggotanya, Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) yang terjejas ekoran wabak COVID-19.

MOM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pandemik COVID-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan industri sukan secara keseluruhan dan NSA juga tidak terkecuali menerima kesannya.

Sehubungan itu, MOM memberitahu bahawa pihaknya telah memperuntukkan RM300,000 daripada Tabung Amanah mereka untuk memberi bantuan kewangan kepada NSA.

"Dana ini bertujuan membantu NSA dengan perbelanjaan pentadbiran mereka di saat pembatalan dan ketidakmampuan untuk melaksanakan acara, khususnya yang telah menjejaskan aliran pendapatan, sedangkan perbelanjaan bulanannya masih perlu dilunaskan," menurut kenyataan itu.

Badan induk sukan itu memberitahu mereka akan mengumumkan proses permohonan dana dan juga prosedurnya kepada NSA dengan segera.

MOM turut memaklumkan bahawa ahli lembaga pengarah badan induk itu telah bersetuju untuk memberikan diskaun kadar sewa bulanan sebanyak 50 peratus kepada penyewa di Wisma MOM bagi bulan April dan Mei 2020.

“MOM akan terus memantau situasi dan berinteraksi dengan pihak berkepentingan yang relevan, terutama anggota kami berhubung pandemik COVID-19," tambahnya.

-- BERNAMA