Bekas ratu skuasy wanita dunia, Datuk Nicol David, berpendapat penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai depan tidak wajar untuk diteruskan, khususnya buat atlet.

Bekas atlet kelahiran Pulau Pinang itu kini dikuarantin berikutan penularan wabak koronavirus baru (Covid-19) sejurus tiba di Bogota, Colombia.

"Saya kini berada di Colombia dan negara ini sedang di bawah kuarantin setelah pihak kerajaan menghadkan pergerakan negara hingga kira-kira 12 April depan. Ia satu tempoh yang panjang.

"Saya juga terpaksa mengasingkan diri selama dua minggu dan tidak boleh merantau ke mana-mana," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, sambil menasihati rakyat Malaysia agar mematuhi arahan kerajaan demi kebaikan semua.

Penganjuran Sukan Olimpik turut mendapat perhatian juara dunia sebanyak lapan kali itu memandangkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) masih mahu mendapat pandangan semua pihak sebelum menentukan hala tuju penganjuran temasya Tokyo 2020 berkenaan berikutan penularan wabak tersebut.

Penganjur, Jepun, masih mempertahankan tarikh temasya itu pada Julai depan meskipun dihimpit masalah penundaan kejohanan selain persiapan atlet.

"Ia seharusnya dianjurkan pada waktu lain.

"Saya dapat menyelami perasaan atlet malah atlet di seluruh dunia turut bergelut kerana tidak dapat berlatih dengan baik ekoran wabak ini.

"(Penundaan) tidak akan menjejaskan (jenama) Sukan Olimpik itu sendiri yang melambangkan keamanan, perpaduan dan keselamatan.

"Kalau ia tetap diteruskan, atlet tidak dapat berkunjung mahupun berada di tahap terbaik untuk bersaing.

"Mereka berasa tidak selamat dan kalau mereka bertanding juga, mereka tidak tahu apa yang akan berlaku," katanya.

Menurutnya lagi: "Saya mempunyai sebab untuk bersara.

"Sudah tentu saya berasa senang untuk melibatkan diri dalam kejohanan dan jika ada menjadi sebahagian daripadanya, saya gembira untuk mengambil bahagian."