Atlet lawan pedang negara, Joshua Koh, perlu menunggu hingga esok untuk mendapat keputusan saringan wabak koronavirus baru (Covid-19) selepas peserta dalam satu kejohanan yang disertainya di Eropah diuji positif.

"Dua minggu lalu saya telah menyertai sebuah kejohanan di Budapest, Hungary, dan dua hari lalu, dua pesertanya dari Korea Selatan dan China diuji positif tetapi saya mendapat perkhabaran mereka sihat dan tidak mengalami apa-apa gejala.

"Apa pun saya tetapi menjalani saringan dan keputusannya akan dikeluarkan esok," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, di sebuah hospital di Damansara.

Dia juga terpaksa menamatkan program latihannya di Pisa, Itali, yang disertainya sejak Januari lalu, dengan lebih awal ekoran penularan wabak.

Program latihan itu sebagai persiapannya untuk menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sepatutnya diadakan bulan depan sebelum semua kejohanan ditunda ke Jun depan.

"Saya sudah pulang ke Malaysia sejak minggu lalu, sudah seminggu saya mengasingkan diri.

"Saya sihat, tidak menunjukkan sebarang gejala dan duduk di rumah sahaja."