Dana White berkata pertarungan UFC 249 "100 peratus akan diteruskan" selepas Justin Gaethje menggantikan Khabib Nurmagomedov sebagai lawan kepada Tony Ferguson dalam acara utama pertarungan itu.

Juara dengan rekod tanpa kalah kategori lightweight UFC, Khabib, pada awalnya akan bertemu Ferguson dalam pertarungan blokbuster itu di Brooklyn pada 18 April ini, namun perancangan itu terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Sekatan perjalanan telah menghalang Khabib ke Amerika Syarikat dan Dubai tetapi bintang Russia itu masih mahu bertarung dengan Ferguson sekiranya White dapat memilih satu venue baru.

Lokasi bagi pertarungan UFC 249 -- yang akan dilangsungkan secara tertutup -- masih belum diketahui tetapi Ferguson (25-3) akan masuk ke gelanggang oktagon untuk berdepan seorang lagi wakil Amerika Syarikat, Gaethje, bagi menentukan gelaran lightweight itu.

White menulis dalam Twitter: "Pertarungan ini sudah ditandatangani dan 100 peratus akan disiarkan secara langsung di ESPN dari satu tempat di dunia!!! @TonyFergusonXT vs @Justin_Gaethje akan disiarkan secara langsung di @espn+ pada 18 April ini bagi merebut tali pinggang sementara lightweight!"

Gaethje, yang memeroleh tiga kemenangan berturut-turut ke atas Donald Cerrone, Edson Barboza dan James Vick, menciap: "#untuksemuaorang saya ketakutan dan amat menggemarinya #UFC."