Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) sah tidak akan menggunakan khidmat bekas jurulatih, Tracey Robinson, untuk membimbing skuad kebangsaan setelah menemui calon baru, iaitu Lisa Ann Beehag dari Australia.

Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, persatuan itu mendapat lampu hijau untuk membawa masuk pengendali baru berkenaan untuk membimbing skuad negara.

Beehag, yang merupakan bekas pemain bola jaring Australia era 80-an, akan dibantu oleh dua jurulatih tempatan, Choo Koon Lee dan Aminah Asaari.

Tidak menafikan reputasi yang dibawa jurulatih sebelum ini, iaitu Tracey Robinson yang membantu Malaysia merampas pingat emas bola jaring dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan mempertahankannya di Filipina hujunh tahun lalu, PBJM mahu memberi nafas baru kepada pasukan kebangsaan.

"Kami ingin mencuba jurulatih baru jadi akan ada peralihan.

"Lagipun separuh daripada skuad senior ketika ini terdiri daripada skuad Sukan SEA Filipina, hujung tahun lalu," kata Setiausaha Kehormat PBJM, Zainon Md Noh, ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Adam Zamri Karim.

Beehag dijangka akan melaporkan diri bermula 8 Mac depan dan tugasan pertamanya adalah membawa skuad negara muncul juara Kejohanan Bola Jaring Asia 2020 di Korea Selatan, Jun depan.

Sasaran menjadi juara itu dianggap realistik memandangkan edisi di Singapura pada 2018 menyaksikan pasukan kebangsaan meraih kedudukan ketiga keseluruhan.

"Pada 2019, pasukan remaja muncul sebagai juara remaja Asia.

"Sehubungan itu, persatuan berhajat untuk melihat pasukan senior juga mampu menjadi juara."