Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, menyahut cabaran untuk menyertai Kejohanan Proklasik India di Chennai, April depan biarpun ia dilihat mampu menggugat reputasinya sebagai Mr. Universe dan Mr. Asia.

India menganjurkan kejohanan edisi pertama itu dengan penarafan sebagai kejohanan lima bintang.

Kesemua pemenang pingat dalam Mr. Universe dan Mr. Asia sejak sejak edisi 2017 dijemput untuk menyertai kejohanan itu.

Kesemua peserta akan bersaing dalam kategori tunggal, sekali gus meningkatkan persaingan untuk mempertahankan reputasi masing-masing.

"Bagi saya, ia kejohanan terbuka, jadi saya tidak rasa ia akan menjejaskan prestasi saya.

"Sebab dalam kejohanan terbuka ini, saya tidak bertanding dalam kategori saya.

"Saya akan bersaing dengan lawan daripada kategori yang lebih berat dan lebih tinggi daripada saya.

"Jadi, ini adalah peluang saya untuk bersaing dengan juara-juara lain dan melihat di mana tahap saya," katanya.

Syarul Azman atau dikenali sebagai Mike mendominasi Mr. Universe dan Mr. Asia dalam kategori badan klasik bawah 175sm.

Sebagai rekod, dia tidak pernah tewas dalam kejohanan antarabangsa sejak 2016.

"Tahun lalu, saya tidak ada penaja dan hanya menemuinya pada saat-saat akhir.

"Saya harap dapat menemui beberapa syarikat untuk menjadikan mereka sebagai penaja saya.

"Tahap keyakinan saya di peringkat dunia dan Asia memang tinggi kerana sebagai juara bertahan, saya berharap dapat mengulangi kejayaan itu," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa