Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, tetap berpuas hati dengan prestasinya walaupun tewas di pentas final acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara 2019, hari ini.

Dalam aksi di Velodrom Nasional, Nilai, semalam, The Pocket Rocketman menepati ramalan apabila meraih pingat emas dalam acara pecut.

Bagaimanapun, prestasi itu gagal dikekalkan dalam final acara keirin apabila tewas kepada pelumba dari Taiwan, Kang Shih Feng, untuk berpuas hati dengan pingat perak.

"Hari ini saya memang merancang untuk melakukan henjutan penuh sementara Shih Feng menunggu di belakang saya sambil menunggu saya melakukannya.

"Lagipun, kebanyakan pelumba menunggu untuk saya membuat gerakan terlebih (dahulu)," katanya.

Namun, kekalahan itu tidak mengganggu pelumba kelahiran Terengganu itu kerana fokusnya kali ini adalah dalam acara pecut demi misi mencari mata ke Kejohanan Dunia 2019, Pruszkow, Poland, Februari depan.

"Saya memburu mata dalam acara pecut untuk memastikan tiada masalah layak ke Kejohanan Dunia berikutan untuk keirin, kedudukan saya sudah selesa.

"Sebab itulah penyertaan saya dalam keirin kali ini lebih kepada latihan dengan melakukan henjutan penuh di peringkat separuh akhir dan final," katanya lagi.