Pingat emas acara keirin dan pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia Tenggara 2019 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan bukan keutamaan jaguh negara, Azizulhasni Awang, walaupun hadir sebagai gergasi di rantau ini.

Azizulhasni mengesahkan penyertaan untuk saingan yang akan bermula Khamis ini dalam dua acara, namun The Pocket Rocketman itu tidak menetapkan sasaran pingat kerana tubuhnya berada dalam keadaan lesu selepas program latihan intensif di Eropah sejak tiga bulan lalu.

"Di situ (Eropah) saya boleh bereksperimen bagi menguji kemampuan ketika ini dengan kehadiran pelumba seperti dari China dan Korea Selatan.

"Ia satu medan yang bagus yang dilabel perlumbaan latihan untuk saya mencuba aspek menukar gear dan taktik," katanya ketika di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu dijangka menerima tentangan sengit daripada pelumba China, Korea dan Thailand dalam perebutan emas keirin dan pecut.

Dia tidak beraksi dalam acara pecut berpasukan kerana Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis beraksi atas tiket Team Sime Darby.

Ini ekoran Kejohanan Berbasikal Trek Asia Tenggara, perlumbaan kelas 1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), tidak menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kebiasaannya kami akan menjalani latihan berat dan meneruskannya, berehat dan menyambungnya kembali sebelum mencapai kemuncak prestasi," katanya lagi.