Azizulhasni Awang terpaksa merombak program latihannya ekoran penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun kekal dengan pendirian untuk terus memburu pingat emas -- sama ada dalam acara keirin mahupun pecut individu.

Beberapa jam selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jepun mengumumkan penangguhan temasya di Jepun itu, satu persidangan di atas talian dijalankan antara Presiden IOC, Thomas Bach, dengan media seluruh dunia.

"Dari awal lagi kami sudah bersiap sedia dengan apa jua kemungkinan.

"Saya nampak ia (penundaan) sesuatu yang positif dan memberikan kami lebih masa lagi untuk mempersiapkan diri.

"Kami mempunyai resepi rahsia untuk meningkatkan prestasi seperti yang dibuktikan dalam Kejohanan Dunia di Berlin yang lalu.

"Saya dan jurulatih, John Beasly, akan membincangkan program baru sebagai persiapan Sukan Olimpik tahun depan dalam tempoh beberapa hari ini," katanya di Melbourne, Australia, ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Begitupun, Azizulhasni tidak gentar dengan perkembangan itu yang membolehkan pencabar-pencabarnya memantapkan kayuhan.

"Ia tidak menjejaskan, saya masih dalam misi mencapai pingat emas Sukan Olimpik pertama untuk negara.

"Andai Sukan Olimpik tetap diadakan tahun ini, saya sudah bersedia tetapi ia tidak selamat untuk atlet dan pegawai yang akan bertugas di sana.

"Saya juga tidak melihat ini sebagai kesempatan buat pelumba Eropah.

"Mereka matang seawal 18 tahun kerana banyak menyertai perlumbaan yang membantu pembangunan mereka berbanding di Asia.

"Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan apa yang boleh diperbaiki.

"Sudah tentu saya akan tetap akan mengkaji pesaing-pesaing yang lain tetapi tumpuan utama haruslah diberikan kepada apa yang boleh dikawal."

Tambah atlet kelahiran Terengganu itu, tempoh beberapa bulan diperlukan untuk seluruh dunia pulih daripada pandemik tersebut.

"Selepas tiga hingga enam bulan Covid-19 reda, barulah semua pihak dapat fokus kepada kehidupan dan Sukan Olimpik."