Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, mempamerkan aksi bertenaga untuk menjuarai acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Cambridge, New Zealand.

Dalam perlumbaan akhir hari ini, Azizulhasni menewaskan beberapa pelumba ternama, antaranya Shane Perkins yang mewakili pasukan Gazprom-Rusvelo, Matthew Glaetzer dari Australia serta Jai Angsuthasawit dari Thailand.

Azizulhasni tampak dalam prestasi terbaik dalam kejohanan itu dan ia dibuktikan menerusi kemenangannya dalam separuh akhir sebelum beraksi cemerlang dalam perlumbaan akhir.

Kemenangan itu menyaksikan Azizulhasni kini menghuni ranking pertama saingan keirin di Cambridge dengan sejumlah 500 mata.

Perlumbaan saingan Piala Dunia seterusnya akan berlangsung di Brisbane, Australia bermula 13 Disember ini.