Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Sukan Malaysia (Sukma) Perak, Datuk Low Beng Choo, meminta siasatan menyeluruh dijalankan, termasuk mengheret sekali jurulatih dan pegawai sukan negeri terbabit.

Sukma Perak berdepan risiko mencatat skandal doping terbesar dalam sejarah apabila makmal ujian doping di New Delhi, India, mengarahkan 17 sampel air kencing atlet diuji semula.

Kesal dengan apa yang telah berlaku, Beng Choo menegaskan siasatan menyeluruhkan harus dilakukan bagi menyelesaikan perkara itu.

"Perkara ini amat membimbangkan serta mengecewakan apabila terdapat pingat yang perlu dipulangkan semula dan segala proses ini akan memakan masa yang panjang," katanya.

"Semua pihak yang terlibat harus mengambil perkara ini dengan lebih serius bagi memastikan pengambilan bahan terlarang tidak mencemarkan saingan sukan tempatan mahupun antarabangsa."