Peluang atlet angkat berat negara untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo tertutup rapat apabila Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) tidak membenarkan wakil Malaysia mengambil bahagian dalam temasya sukan berkenaan.

Menurut laman web rasmi IWF, www.iwf.net, selain Malaysia, atlet angkat berat Thailand turut menerima nasib sama ekoran kedua-dua negara mencatat jumlah kes doping yang banyak tanpa mengira sebarang perubahan tarikh temasya sukan itu.

Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada Julai depan ditangguhkan selama setahun susulan wabak COVID-19 dan akan diadakan pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, dalam satu kenyataan berhubung isu tersebut, berkata PABM akan mengkaji sama ada akan membuat rayuan atau tidak berdasarkan implikasi terhadap keputusan, kewangan dan masa persatuan berkenaan.

“Keputusan IWF adalah tertakluk kepada kejohanan dan aktiviti IWF di peringkat antarabangsa. Berdasarkan keputusan IWF, kejohanan dalaman, kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 adalah berjalan seperti dirancang,” katanya.

Menjelaskan keputusan yang dikeluarkan IWF itu, Ayub berkata Malaysia telah menjalani satu Pendengaran dan Siasatan Dalam oleh Jawatankuasa Panel Bebas yang dilantik IWF pada 6 Mac melalui aplikasi Skype.

Malaysia seterusnya menerima keputusan oleh IWF yang dianggotai Richard Young dari Amerika Syarikat bersama lima panel lain, pada Rabu lalu.

IWF menetapkan bahawa PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April 2020 hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Keputusan itu juga turut tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020.

Penggantungan selama lima bulan itu adalah disebabkan sebelum ini PABM telah menggantung atlet Malaysia daripada menyertai sebarang kejohanan IWF selama setahun bermula 31 Mei 2018 hingga 1 Mei 2019.

Sebelum ini, PABM didenda sebanyak US$25,600 (RM111,552) pada tahun lalu berkaitan isu doping empat atlet negara namun Malaysia telah menjelaskan denda tersebut pada September 2019.

Mohd Hafifi Mansor merupakan wakil tunggal negara dalam acara angkat berat pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

-- BERNAMA