Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, lega apabila pihak berkuasa Melbourne, Australia menarik semula perintah berkurung ekoran kes positif Covid-19.

Situasi itu memberi peluang kepada 'The Pocket Rocketman' untuk membuat persiapan rapi menjelang Kejohanan Kebangsaan Australia, bulan depan.

Sebelum ini, pihak berkuasa Melbourne mengumumkan perintah berkurung ekoran penularan wabak coronavirus sekaligus telah menjejaskan pergerakan serta keselamatan Azizulhasni.

Azizulhasni dan keluarganya berada di Melbourne menjalani latihan menjelang temasya Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan.

Selepas pihak berkuasa perintah berkurung telah ditarik semula, ia melegakan atlet kebangsaan itu untuk terus menjalani persiapan.

"Saya sangat bersyukur tiada kes yang meningkat di sini, latihan di sini dijalankan sebagai biasa cuma latihan di gimnasium berdepan kekangan," kata Azizulhasni.

Terdahulu, jaguh berbasikal negara itu kembali menguasai kedudukan nombor satu dunia dalam acara pecut.

Berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 9 Februari, Azizul berjaya mengumpul 1,600 mata untuk berada di tangga teratas dalam acara pecut individu, sekali gus mengenepikan pencabarnya dari Jepun, Tomohiro Fukaya yang berada di kedudukan kedua dengan 1,442.5 mata.