Penularan COVID-19 yang masih belum reda memaksa pemain ping pong negara, Ashraf Haikal Rizal, membuat keputusan sukar untuk melepaskan tawaran kelab Belanda, TTV Hilersum, yang menantinya sejak Februari lalu.

Ini kali kedua Asyraf terpaksa menolak tawaran kelab itu dan dia sempat berkongsi kisah penghijrahannya bersama wakil Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

Kelab yang berpengkalan di utara Belanda itu menagih khidmat Ashraf dalam misi mara ke divisyen utama Liga Ping Pong Belanda, namun peningkatan kes di Eropah memaksa hajat tersebut ditunda sehingga bulan lalu.

Malangnya Ashraf, yang sudah membuat persiapan rapi untuk berlepas, berputih mata ekoran penularan kes di Malaysia pula semakin menjadi-jadi lalu gagal mendapat pelepasan daripada Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Awal Ogos lalu saya diminta supaya melaporkan diri sebulan kemudian.

"Tetapi awal bulan lalu mereka kembali hubungi saya dan memaklumkan kes di sana sedang meningkat, jadi mereka minta saya supaya terus kekal di Malaysia dan melaporkan diri pada Februari 2021 pula," katanya di Bukit Jalil hari ini.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat pemain dari Kedah itu yang tetap berusaha untuk kembali beraksi di Eropah tahun depan.

Difahamkan, ketika ini dia sedang berunding dengan sebuah kelab di Perancis tetapi terpaksa menanti sehingga tahun depan dengan mengambil kira situasi dunia yang sedang diancam pandemik itu.

"Saya berpeluang beraksi dalam Liga Kesatuan Ping Pong Eropah untuk bersaing dengan kelab-kelab divisyen kedua Eropah.

"Jadi saya boleh timba pengalaman."