Setelah dua kali tersisih daripada menyertai Sukan SEA, pelari pecut negara, Aqil Yasmin, masih belum mahu mengibarkan bendera putih dalam usahanya mencari slot ke Vietnam bagi edisi 2021.

Pelumba kelahiran Selangor itu kini sedang dalam sesi pemulihan selepas selesai menjalani pembedahan anterior cruciate ligament (ACL) di lutut kirinya Februari lalu.

Dia membawa misi yang penting menjelang penghujung tahun ini apabila perlu mempertahankan pingat emas acara pecut 100 meter dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Thailand, Disember depan.

Jika berjaya, ia merupakan tiket untuk kembali mendapatkan kepercayaan barisan kejurulatihannya bagi merebut tempat dalam Sukan SEA Vietnam 2021.

"Perancangan yang dibincangan dengan doktor-doktor di ISN (Institut Sukan Negara) memang begitu. Kalau boleh saya mahu terpilih ke Sukan SEA tahun depan.

"Saya hendak mula berlatih, cuma buat masa ini, saya hanya berlatih di rumah.

"Hendak ke trek dan gimnasium buat masa ini memang tidak dapat dapat.

"Saya rasa semua seperti biasa sahaja, cuma hendak mulakan (latihan) kembali.

"jika ada program baru, mungkin jurulatih akan menumpukan kepada tahun depan," katanya.

Sebagai rekod, Aqil turut meraih satu pingat perak dalam acara 4x100 meter dan gangsa acara 200 meter AUG di Nay Pyi Taw, Myanmar dua tahun lalu

"Kejohanan tahun ini banyak ditangguhkan, jadi ramai atlet akan melupakan musim ini.

"Mereka lebih menumpukan saingan bagi tahun depan," tambahnya.