Adli Hafidz terpaksa lupakan pertarungan kerana batu karang

Oleh Muzaffar Musa 31 Oktober 2020 663
Adli Hafidz terpaksa lupakan pertarungan kerana batu karang
Peninju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi, terpaksa membatalkan hasratnya untuk bertarung dan merebut tali pinggang kategori super middleweight Majlis Tinju Dunia Asia pada Disember depan.

Dia menjalani pembedahan membuang batu karang kelmarin dan perlu mengelakkan sebarang pertarungan sekurang-kurangnya selama dua bulan.

Perancangan rapinya sejak Mac lalu terpaksa dikorbankannya sebaik menjalani pembedahan berkenaan dan terpaksa melupakan pertarungan menentang peninju Thailand, Chaleormporn Siwatsuk, yang sepatutnya berlangsung di Singapura hujung tahun ini.

"Sekarang memang saya kena rehat, mungkin sebulan untuk betul-betul pulih," katanya kepada Nadi Arena.

"Sebab latihan saya banyak melibatkan perut dan saya sakit juga di bahagian perut.

"Jadi saya memang kena berehat terutama di bahagian itu.

"Kalau sekadar untuk membuat latihan ringan, saya sudah boleh kembali dalam tempoh seminggu atau dua minggu.

"Jadi, saya akan banyak melakukan latihan ringan tetapi untuk menjalani latihan yang lebih berat mungkin memerlukan satu atau dua bulan.

"Sudah pasti saya kecewa kerana sudah bersedia sepenuhnya dengan berulang-alik dari ISN (Institut Sukan Negara) ke Johor Bahru.

"Saya sudah mengorbankan banyak masa, jadi apabila jadi begini memang agak kecewa juga.

"Tetapi saya mengambilnya sebagai dugaan dan cabaran kerana mungkin ada hikmah untuk saya melangkah lebih jauh.

"Saya berbincang dengan jurulatih dan mungkin ia perlu ditangguhkan ke tahun depan, jadi tahun ini akan menjadi tahun persediaan saya.

"Tahun depan jika segala-galanya sudah pulih, saya akan mula bertarung," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Comment