Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, mahu menilai prestasi bekas tekong negara, Syahir Rosdi, di gelanggang latihan terlebih dulu sebelum menerimanya kembali ke pangkuan skuad negara.

Menghampiri tempoh tamat penggantungannya bulan ini, Syahir menyatakan niatnya untuk kembali ke skuad negara walaupun mengakui permainannya sudah banyak merosot.

Abdul Talib memuji niat pemain berusia 24 tahun itu, yang digantung selama sembilan bulan oleh Persatuan Sepak Takarw Malaysia (PSM) kerana masalah disiplin, namun menegaskan pemain itu perlu membuktikan prestasinya di atas gelanggang.

"Alhamdulillah, daripada segi niat Syahir itu bagus.

"Kerana apabila kita bermain, apa-apapun untuk negara.

"Apabila dia berniat bermain untuk negara, ia memang bagus.

"Saya berharap selepas berakhir penggantungan ini, dia dapat menjalani latihan sendiri untuk mengembalikan prestasinya," katanya.

Pengendali itu menambah, skuad negara ketika ini lebih menumpukan kepada pemain B-21, yang membawa misi untuk meraih pingat emas dalam Sukan Asia Nagoya 2026.

"Kami mesti mendapatkan pingat emas dalam Sukan Asia 2026.

"Jadi pemain di bawah umur 21 tahun mempunyai peluang yang agak lama untuk menimba pengalaman dalam kejohanan antarabangsa.

"Ia supaya mereka diberikan pendedahan dan dapat merebut peluang untuk mewakili negara," tambahnya.