Ratu ski negara, Aaliyah Yoong Hanifah, yang akan tampil dalam final acara tricks dalam Kejohanan Ski Air Dunia IWWF 2019 esok menyasarkan untuk memperagakan aksi terbaik dan mencipta rekod peribadi terbaik yang baru di Kompleks Sukan Air di Putrajaya.

Peluncur berusia 16 tahun itu yang baru sahaja mencipta rekod baru Asia untuk tricks selepas mengumpul 7,320 semalam, berkata terdapat peluang tipis untuk menduduki podium, namun tumpuannya lebih kepada mata yang akan diperolehnya.

"Selalunya ada peluang (untuk menang) dalam ski air kerana dalam mana-mana sukan, apa-apa boleh berlaku.

"Saya berhasrat untuk melakukan yang terbaik dan mungkin memperbaharui rekod saya dengan mendapat skor yang lebih baik atau memadam catatan peribadi saya. Jika saya menduduki podium, ia akan menjadi mata bonus," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kecederaan telinganya, dia menjelaskan kini dalam keadaan baik tetapi akan menjalani pemeriksaan selepas kejohanan berakhir.

"Saya mungkin akan membuat temu janji dengan doktor lain untuk memeriksa keadaan keseluruhan tetapi saya dalam keadaan baik kerana tidak ada kesakitan atau hilang pendengaran," katanya.

Antara atlet dunia yang akan bersaing dengannya dalam final esok ialah Neilly Ross (Kanada), Anna Gay (Amerika Syarikat) dan Jacinta Caroll (Australia).

-- BERNAMA