2021 akan menjadi tahun yang menarik, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, mengenai perancangan awal yang akan melibatkan Malaysia selaku tuan rumah beberapa kejohanan utama tahun depan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa penelitian yang perlu dilakukan di kala dunia masih belum bebas daripada pandemik COVID-19.

Tentunya fokus itu akan terarah kepada kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo selain aksi pemanas badan sebelum Sukan SEA Hanoi 2021.

"Kami melihat bahawa kalendar tahun depan, berdasarkan penangguhan dan pembatalan banyak kejohanan sebelum ini, ia mungkin akan menyebabkan jadual yang agak padat," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah.

"Sebab itu saya telah meminta MOM untuk menyenarai akhir kalender utama sukan supaya tiada pertindihan kejohanan dan menentukan bahawa kejohanan itu mampu memberikan peluang untuk atlet bersedia.

"Kami tidak mahu kejohanan berturut-turut ini akan menjadikan kita terburu-buru dan tidak mengambil kira tahap kesihatan atlet," katanya.

Dalam masa sama, Norza menjelaskan bahawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap dengan pendirian untuk menghantar skuad negara menyertai tiga kejohanan penutup musim di Thailand bulan depan.

Norza percaya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tuan rumah itu sudah cukup meyakinkan untuk skuad negara beraksi di sana.

"Pemain-pemain kita sendiri berada dalam keadaan yang begitu tertekan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan utama. Mereka sudah serik untuk bertanding sesama mereka.

"Saya fikir ia adalah peluang terbaik di peringkat tertinggi untuk pemain-pemain kita menguji apa yang telah mereka lakukan sepanjang enam, tujuh bulan ini," katanya.