Malaysia Swimming membuat kejutan dalam senarai 10 penerjun negara yang akan mencabar Piala Dunia di Tokyo, Jepun, bermula 1 Mei ini selaku kelayakan terakhir ke Sukan Olimpik.

Muhammad Syafiq Puteh dipilih beraksi dalam acara 3 meter individu papan anjal lelaki mengetepikan bekas juara Sukan Komanwel, Ooi Tze Liang.

Keputusan memilih Syafiq untuk mengiringi chew Yiwei dalam 3m individu papan anjal sesuatu yang mengejutkan kerana dia lebih banyak fokus dalam saingan seirama.

Ini kerana Syafiq dianggap sebagai underdog berbanding Tze Liang yang sudah banyak mencipta kejayaan termasuk meraih pingat Sukan SEA, Komanwel dan Asia.

Namun, prestasi Syafiq ketika meraih pingat perak aksi simulasi di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, dua minggu lalu mengatasi Tze Liang meyakinkan barisan jurulatih dan Malaysia Swimming bahawa dia layak beraksi di Tokyo.

"Saya berharap penerjun lelaki akan layak ke Tokyo Olimpik, bagi acara 3m papan anjal individu atau serirama. Mereka sangat berdisiplin dan mengetahui apa yang perlu dilakukan," kata Setiausaha Agung Malaysia Swimming, Mae Chen.

Untuk rekod, 18 penerjun terbaik acara individu Piala Dunia Tokyo akan layak ke Olimpik.

Cabaran Malaysia ialah memastikan penerjun lelaki layak ke Olimpik Tokyo berbanding hanya empat penerjun wanita setakat ini.

"Syafiq merupakan seorang penerjun yang konsisten sejak 2019 lagi, kerap mengutip mata yang baik dan kami berasakan dia layak diberikan peluang ini," kata jurulatih negara, Christian Brooker.

Sementara itu, Syafiq ternyata terkejut apabila dipilih beraksi dalam 3m individu papan anjal.

Dia yang banyak dibelenggu kecederaan sejak beberapa tahun lalu pada awalnya pernah merancang menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Namun sikap tidak mengaku kalah selain impian menjejakkan kaki ke pentas Olimpik buat kali pertama jadi pembakar semangat.

"Saya tidak menyangka memperoleh peluang ini, saya telah cuba melakukan yang terbaik dalam beberapa kejohanan sebelum ini dan beraksi di Tokyo nanti, saya akan terus cuba memberikan persembahan yang terbaik," kata Syafiq.

Piala Dunia Tokyo akan diadakan secara gelembung sukan, skuad negara dijadual berangkat, Isnin depan.