Pencapaian meraih tempat kelima dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 membuatkan pemain ragbi 7s negara, Muhammad Azwan Zuwairi, bertekad untuk terus membantu meningkatkan lagi prestasi pasukan.

Skuad negara turun ke saingan Sukan Asia kali ini dalam misi memperbaiki pencapaian tangga kesembilan di Incheon empat tahun lalu.

Kemenangan ke atas Taiwan serta Indonesia dalam aksi peringkat kumpulan memastikan Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir selaku naib juara kumpulan di belakang Jepun.

Begitupun, langkah mereka tersekat di peringkat berkenaan apabila kecundang kepada Korea Selatan.

Kemenangan ke atas Thailand dan China dalam perlawanan klasifikasi kelima hingga kelapan menyaksikan skuad negara mencapai sasaran utama, iaitu lima terbaik Asia.

"Kami memenangi dua perlawanan di peringkat kumpulan tetapi tewas kepada Korea Selatan dalam suku akhir. Bagaimanapun, Malaysia telah berusaha sebaik mungkin ketika berdepan Thailand dan China untuk mengakhiri saingan di tempat kelima," katanya.

Secara keseluruhan, Azwan berpandangan skuad negara masih perlu meningkatkan lagi prestasi mereka andai ingin mencabar kelompok empat terbaik Asia, antaranya Jepun, yang menewaskan Malaysia di peringkat kumpulan.

Kejohanan Asia Sevens bulan ini menjadi cabaran berikutnya buat skuad negara untuk mengekalkan momentum yang diperoleh dalam Sukan Asia.

"Dengan kekuatan Malaysia yang telah berlatih bersama selama dua tahun ini, jurang di antara pasukan yang lebih besar tidak begitu jauh. Kami akan terus berusaha untuk menewaskan mereka," katanya.