Kuala Lumpur Thunder mengejutkan Perak Bison apabila memenangi perlawanan terakhir saingan Liga Premier, Liga Sepak Takraw (STL) dengan kemenangan 2-0 dalam aksi di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya, petang tadi.

Perak dikatakan bakal melalui perlawanan mudah untuk mengesahkan kedudukan selaku pengiring buat juara, Penang Black Panthers, ke saingan Piala Kejuaraan.

Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku selepas KL Thunder yang menampilkan perejam, Norhafizi Razak, dilihat lebih konsisten ke penghujung aksi untuk memenangi set pertama 21-15.

Finalis musim lalu itu juga dilihat sudah siap dengan kebangkitan yang mahu dijelmakan Perak dalam set kedua dan selepas aksi kejar-mengejar mata, KL Thunder berjaya meraih kemenangan 22-20 untuk mengesahkan kemenangan, sekaligus menambah kutipan mata musim ini.

Dalam satu lagi aksi, pasukan tangga terbawah, Johor Tigris, turut melakukan kejutan apabila membenam cabaran ATM Guardians 2-1.

Turun dengan rekod dua kemenangan dan 11 kekalahan hasil daripada 13 perlawanan, Johor terlebih dahulu tunduk dengan persembahan hebat lawan dalam set pertama apabila tewas 15-21.

Set kedua menyaksikan permulaan kebangkitan buat mereka apabila mendahului 17-15 sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan 21-18.

Johor meneruskan aksi cemerlang itu dalam babak kedua, setelah menamatkan pertemuan dengan ATM menerusi pungutan mata 21-10, namun masih kekal di tangga terbawah sementara ATM kini berada di tempat kelima kedudukan keseluruhan.