Kempen Liga Sepak Takraw (STL) kembali rancak Isnin ini apabila pasukan rata-rata mempunyai baki dua perlawanan sebelum mengakhiri pusingan pertama ini.

Kuala Lumpur Thunder, yang mengutip 14 mata, dijangka terus selesa di puncak selepas tujuh perlawanan apabila bakal berhitung dengan pasukan tercorot, Selangor Pistons, di Stadium Titiwangsa.

Namun, mereka harus berwaspada memandangkan Selangor cuba mengatur semula kempen mereka dengan memancing empat pemain baru termasuk tekong yang sedang mencipta nama, Zuhri Zain, yang pernah mewakili MASUM-UPM Knights.

Dia akan memberi cabaran kepada Azman Hamid dan Yusyairil Amir Yusof bagi menghadapi jadual padat hingga hujung tahun ini.

"Jika saya mahu merebut tempat, saya kena usaha lebih dan tidak boleh berputus asa.

"Awal-awal malu tapi mereka banyak beri tunjuk ajar.

"Aspek kawalan gelanggang juga perlu perbaiki," kata penuntut tahun tiga pengurusan sukan di UiTM itu kepada wakil Astro Arena, Azlan Mubin, dalam Program AM Bersama PM, Rabu lalu.

STL kembali semula bermula 14 sehingga 16 Disember ini. Saksikan kesemua perlawanan ini secara langsung di @astroarenahd #STL2020 #INIMILIKKITA

Posted by SepakTakraw League on Thursday, December 10, 2020


Walaupun menghormati status KL Thunder sebagai pasukan disegani, Zuhri yang memiliki ketinggian 190cm tetap memiliki keyakinan untuk memberi tentangan hebat.

"Semua orang tahu servis Shahir Rosdi banyak membantu KL Thunder tapi apabila masuk ke gelanggang, saya akan tetap berasa yakin."