Pengarah Teknikal Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang baru dilantik, Abdul Talib Ahmad, mempunyai pelan jangka panjang buat skuad kebangsaan.

Antaranya, menyediakan regu ampuh menjelang Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun, di samping menaikkan prestasi skuad wanita.

Abdul Talib menerusi perinciannya bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini berhasrat memberi pendedahan yang lebih besar buat skuad wanita.

"Kejohanan di luar negara melibatkan skuad wanita agak kurang untuk membolehkan mereka menimba pengalaman.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sudah melihat tahap mereka dan kami telah merancang untuk memperbanyakkan perlawanan membabitkan pasukan wanita," tambahnya.

Sementara itu, skuad kebangsaan akan melaporkan diri di Bukit Jalil, Ahad ini dan jurulatih teraju, Rashidi Nordin, berharap barisan anak buahnya akan menyesuaikan diri dengan norma baru dalam usaha mengembalikan prestasi .

"Banyak perancangan telah diatur tetapi Ahad ini kami akan mula tumpukan latihan individu dengan mengaikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," katanya.