PSM pertikai cara ASTAF jatuh hukuman

By Shaiful Shamsudin 1 April 2021 980
 PSM pertikai cara ASTAF jatuh hukuman

Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menggantung pengurus pasukan wanita negara, Wan Mohd Husni Abdullah, selama lima tahun daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu atas kesalahan disiplin.

"Tindakan ini adalah satu amaran keras untuk dijadikan pengajaran kepada setiap pemain, pegawai dan jurulatih yang tidak mematuhi peraturan sepak takraw," kata Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, dalam satu rakaman kepada Astro Arena hari ini.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, hari ini berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, bahawa dia telah meminta ASTAF agar mengemukakan surat penjelasan serta bukti bagi menyokong tindakan itu.

Ahmad sebaliknya mempertikai kaedah pelaksaan ASTAF sambil akan mencabar hukuman itu. 

ASTAF turut mengarahkan PSM mengeluarkan surat rasmi kepada Wan Mohd Husni bagi melucutkan semua jawatan yang disandangnya berkuat kuasa 9 Disember 2019 hingga 8 Disember 2024.

"Dalam sesi pendengaran itu, saya difahamkan dia (Wan Mohd Husni) tidak dijemput. 

"Apabila diberi surat kepada PSM yang meminta kami untuk melucutkan jawatan Wan Mohd Husni-- ia satu perkara besar,  jadi saya tidak boleh buat keputusan (drastik) macam itu. 

"Saya terpaksa membawa (kes ini) -- kalau tidak kepada exco sekali pun tetapi kepada ahli majlis tertinggi. 

"Saya tidak boleh (sewenang-wenangnya) panggil ahli majlis untuk menggantungnya tanpa menunjukkan beberapa dokumen.

"ASTAF gagal dalam memberikan maklumat lebih rapi supaya ia dapat dibentangkan kepada ahli majlis sebelum PSM dapat buat pertimbangan bersama mengenai keputusannya (sebulat suara), " kata Ahmad.

Difahamkan Wan Mohd Husni sebelum ini digantung tugas sementara oleh ASTAF berhubung kesalahan disiplin gara-gara berkelakuan agresif ketika membantah keputusan pengadil dalam Sukan SEA 2019 di Filipina.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment