Juara bertahan, Kota Bharu A, mengekalkan kejuaraan apabila menumpaskan Jeli B 2-0 dalam final Kejohanan Sepak Takraw Pesta Sukan dan Kebudayaan Pegawai Pendidikan Kelantan (PSKPPK) di Wisma Sukan Telipot, Kota Bharu, hari ini.

Kota Bharu A, yang diwakili tekong berpengalaman, Mohd Zaimi M.M Aboo Jubar, Shamsuri Ismail (perejam), Rosli Che Wil (pengumpan) dan Shamsul Nordin (simpanan) bermula garang apabila memenangi set pertama 21-18.

Regu Jeli B, yang dibarisi apit kanan berpengalaman, Shamsul Bahri Ab. Manap, yang bergandingan dengan Badrul Hisham Ab. Hamid dan Mat Rosly Berahim, cuba bangkit dalam set kedua tetapi dikecewakan servis kencang Mohd Zaimi untuk tumpas 22-20.

Ketua jurulatih Kota Bharu, Zairullah Yusof, memuji persembahan anak buahnya sambil menyifatkan kejayaan mengekalkan kejuaraan itu sebagai hadiah yang cukup bermakna.

"Syukur kerana pemain dapat beraksi dengan penuh bersemangat dan mengekalkan kejuaraan.

"Strategi untuk menyerang dan memantapkan kawalan gelanggang amat menjadi hari ini," katanya.


Keputusan penuh:

Johan: Kota Bharu A
Naib Johan: Jeli B
Tempat ketiga: Pasir Mas dan Gua Musang