Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, hari ini menyambut baik kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kelonggaran kepada industri sukan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Selepas hasil usaha beberapa pihak hingga ke peringkat kementerian, PSM akhirnya mendapat lampu hijau untuk menganjurkan baki aksi Kejohanan Piala Juara-Juara Liga Sepaktakraw Malaysia (STL)2020.

Baki 13 perlawanan itu bakal berlangsung selama lima hari bermula 2 hingga 6 Mac depan dan beralih ke Iskandar Malaysia Studio, Johor Bahru, sambil mengekalkan format gelembung sukan -- pegawai serta pemain akan menetap di pusat kuarantin yang akan diputuskan badan induk berkenaan.




"Bagi membolehkan setiap pasukan membuat persiapan latihan dan persediaan bagi mencari kesefahaman, keserasian dan kombinasi regu masing-masing dan juga supaya pihak Astro boleh membuat persiapan-persiapan yang lebih rapi, maka PSM telah menetapkan akan menyambung semula Piala Juara-Juara STL 2020 pada 2 Mac 2021 hingga 6 Mac depan," menurutnya dalam satu kenyataan PSM sebentar tadi.

Saingan di Stadium Titiwangsa sebelum kempen ditunda pada 13 Januari lalu turut menggunakan format sama dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.