Kejohanan simulasi medan pemain muda tonjol bakat -- Talib

By Ammar Hakim 23 November 2020 249
Kejohanan simulasi medan pemain muda tonjol bakat -- Talib
Kejohanan simulasi dilihat sebagai medan pemain muda tunjuk taring -- menurut Pengarah Teknikal Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Abdul Talib Ahmad.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu juga berpuas hati dengan prestasi ditonjolkan pemain kebangsaan, tatkala pendedahan kejohanan buat anak buahnya ketika penularan wabak Covid-19 yang terhad. 

Selepas kebanyakan kejohanan terpaksa dibatalkan akibat pandemik itu, Sukan SEA Hanoi, Vietnam dilihat sebagai sasaran utama skuad takraw negara.

Melihat peralihan ilmu di antara pemain senior dan muda memberikan jaminan buat Talib untuk tidak berasa panik dengan kekangan pendedahan kejohanan ketika ini.

Ini menghadirkan kemungkinan buat pemain muda untuk membarisi pasukan Malaysia di Hanoi nanti.

"Kami perlu melihat pada hari pemilihan bagi menilai kekuatan mental dan fizikal serta ketersediaan mereka untuk beraksi di pentas antarabangsa. Saingan antarabangsa menitik berat setiap aspek kerana ia merupakan satu saingan yang berada di tahap berbeza," katanya.

Dalam masa sama, Talib berharap saingan Liga Sepak Takraw (STL) dapat disambungkan semula kerana ia menjadi satu-satunya kejohanan buat pemain negara mengekalkan kecergasan.

"STL perlu diteruskan kerana pemain-pemain perlu bermain dalam pertandingan kerana ia adalah peluang untuk mereka untuk menguji kemampuan sekaligus memberikan sasaran buat mereka untuk dicapai."

About Author

Ammar Hakim

Comment