Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Seri Ahmad Ismail, menganggap tindakan Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak) mengumumkan untuk tidak lagi menjadi sebahagian ahli gabungan badan induk itu merupakan satu konspirasi 'Si Kitol' untuk memburukkan PSM.

Jelas individu yang mesra disapa Tok Mat itu, 'Si Kitol' yang dimaksudkan berkenaan telah bersekongkol dengan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Abdul Halim Kader, demi kepentingan peribadi.

Terdahulu, Gastak mendakwa keputusan yang diambil mereka itu adalah demi pembangunan sukan sepak takraw negara memandangkan Tok Mat telah digantung selama 15 tahun oleh ASTAF dan PSM juga digantung secara sementara sejak 28 April lalu.

Dalam satu temu bual bersama pewarta Astro Arena, Azlan Mubin, hari ini, Tok Mat memberikan responsnya terhadap konflik terbaru itu.

"Sebenarnya, bukan tiba-tiba (Gastak umum keluar PSM) , ini adalah sebahagian daripada konspirasi, saya sudah tahu hari ini Kelantan akan buat (pengumuman), esok negeri lain pula akan buat, ini sudah diatur sedemikian rupa untuk menunjukkan PSM sudah kelam-kabut.

"Apa yang saya hendak katakan, ia bergantung kepada 'Si Kitol' yang sedang bersekongkol dengan Halim Kader.

"Si Kitol inilah yang menghubungi setap negeri dan memberitahu bahawa PSM sudah kena gantung dan kita tidak akan ada kejohanan, jadi orang pon naik takut.

"Malah sesetengah daripada mereka tidak mendapat gambaran yang sebenar, mereka anggap PSM sudah kena gantung, jadi lebih baik untuk menubuhkan PSM yang baru.

"Yang tidak tahu memang akan ikut untuk menubuhkan PSM baru.

"Yang pertama, kita perlu kenal pasti bahawa Si Kitol inilah yang telah dijanjikan pembiayaan ke sukan-sukan besar, kejohanan besar, penerbangan dan penginapan percuma, makan percuma, elaun ada, jadi mereka inilah yang menggunakan negeri-negeri lain.

"Jadi, saya kasihan dengan beberapa presiden (persatuan negeri) yang saya anggap baru juga dan tidak memahami dengan jelas dan saya juga mengaku dalam bulan puasa ini kita perlu tunggu dahulu dan kami sebagai pihak pengurusan akan membuat apa yang patut tetapi saya akan memanggil satu perjumpaan selepas hari raya keenam ini.

"Insya-Allah kami akan memberikan penjelasan dan penerangan dengan lebih rapi.

"Tetapi saya mahu memberitahu kepada mereka, bukan Halim Kader yang bayar anda untuk ke sana, beban itu akan ditanggung negara tuan rumah.

"Tetapi apapun, saya nak beritahulah, ada orang yang nak tunjuk kuasa tetapi perbelanjaannya perlu ditanggung orang lain.

"Dan secara kebetulan, ada pula satu golongan lain yang mahu semuanya secara percuma.

"Jadi mereka inilah yang sanggup menggadai prinsip sehingga maruah diri juga mereka sanggup gadai," katanya.