Halim Kader belum sedia undur diri

By Ammar Hakim 18 February 2021 270
Halim Kader belum sedia undur diri
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Abdul Halim Kader, tidak akan tunduk dengan desakan yang mahu dirinya mengundur diri menjelang pemilihan badan induk itu 1 Mac ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, mengesahkan akan mencabar Datuk Abdul Halim Kader bagi merebut jawatan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi penggal 2021-2025.

Beliau yang juga Timbalan Presiden ASTAF bagi sesi 2016-2021 berkata pada awalnya tidak berhasrat untuk bertanding kerana mahu memberi fokus kepada pembangunan sepak takraw negara dan memberi laluan kepada Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES), Mohd Nasri Haron.

Halim pula yang bersandarkan kepada kredibiliti sepanjang 17 tahun berbakti dengan ASTAF akan mampu meyakinkan delegasi memihak dirinya biarpun berdepan saingan tiga penjuru untuk jawatan kerusi nombor satu.

"Saya tidak khuatir, sesiapa sahaja boleh datang bertanding. Saya tidak berkelayakan untuk mengatakan sesiapa tidak layak atau kurang berpengalaman bertindak sebagai presiden," kata Abdul Halim Kader.

Dalam hal berkaitan penghantaran pemain B-23 tahun ke Sukan SEA Vietnam 2021, tekong muda, Zarif Merican Ibrahim, tampil dengan pandangan bahawa gabungan pemain senior masih diperlukan untuk digarap dengan pemain muda temasya itu.

Mengimbas kembali penampilan pertamanya dalam Sukan SEA Filipina 2019 yang mencetus kontroversi, kerana dipilih biarpun tanpa pengalaman luas di peringkat antarabangsa, ditambah menjadi pengganti kepada Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak yang digantung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) ketika itu.

"Gembira kerana terpilih ke Sukan SEA terdapat perasaan gugup dalam kalangan pemain muda. Niat saya untuk bermain dengan baik. Saya berasakan kehadiran pemain senior amat membantu seperti Sukan SEA 2019 sebelum ini," kata Zarif.

About Author

Ammar Hakim

Comment