Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) terus komited dalam menjaga kebajikan pemain dengan kali ini menghulurkan bantuan wang tunai dan barangan keperluan kepada pemain yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, berkata sumbangan yang dihulurkan oleh presiden GASTAK, Zuraidin Abdullah, bertujuan untuk memastikan segala kebajikan pemain sentiasa diutamakan, terutama ketika menghadapi saat sukar ini.

"Untuk pusingan pertama, GASTAK memilih pemain yang tidak memiliki pendapatan tetap dan memiliki keluarga yang susah.

"Biarpun nilai sumbangannya tidak besar, ia cukup sekadar ingatan daripada pengurusan untuk meringankan beban yang ditanggung mereka," katanya.

Sementara itu, bercakap tentang persiapan Kelantan Warriors menghadapi musim baru Liga Sepak Takraw (STL), Ogos ini, Ahmad Shazwan menjelaskan persediaan pasukan sedikit terencat akibat PKP.

"Namun, semua pemain diminta berlatih di rumah masing-masing bagi menjaga kecergasan dan dibimbing oleh jurulatih melalui rakaman video.

"Setakat ini, kami mengadakan aksi persahabatan antarabangsa menentang skuad Sumatera Barat pada akhir Februari lalu.

"Insya-Allah, jika keadaan kembali tenang dan penularan wabak Covid-19 berjaya ditangani kerajaan, Kelantan Warriors akan kembali menjalani latihan seperti biasa," ungkapnya.


Kredit Foto: Kelantan Warriors