Demi anak Siti Nor Suhaida pilih berniaga Nasi Gulai Tekong

By Muzaffar Musa 19 October 2020 8184
Demi anak Siti Nor Suhaida pilih berniaga Nasi Gulai Tekong
Demi cahaya mata tunggalnya, tekong skuad sepak takraw negara, Siti Nor Suhaida Jafri, memilih untuk menarik diri daripada kem kebangsaan.

Jelasnya, demi menjaga anak tunggalnya, Ahmad Eusoff Qarizh, dia memilih untuk meninggalkan sukan berkenaan dan beralih tumpuan kepada perusahaan makanan Nasi Gulai Tekong.

Dalam satu temu bual Nadi Arena hari ini, Siti Nor Suhaida berkata: "Ceritanya begini, sekarang ini atlet negara tidak dibenarkan keluar (daripada pusat latihan) kerana kita sekarang ini sedang berada dalam PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

"Jadi, kami suami isteri memang atlet negara dan apabila dua-dua perlu di kuarantin, kami ada anak kecil yang baru berusia 10 bulan.

"Jadi ada masalah sedikit di situ dan saya fikir perlu tarik diri (daripada kem kebangsaan) untuk mengelakkan sebarang keburukan buat pasukan," katanya.

Mengulas mengenai perniagaannya, atlet kelahiran Kuala Krai itu menambah: "Sebenarnya perancangan itu sudah lama tetapi masa pada ketika itu waktu tidak mengizinkan untuk saya berniaga kerana sibuk dengan latihan.

"Di samping itu, saya juga mahu berterima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara) kerana gaji yang diterima sebagai atlet saya kumpulkan untuk dijadikan modal perniagaan ini.

"Ibu dan keluarga membantu saya dalam perniagaan ini kerana suami saya ketika ini masih dikuarantin di MSN Bukit Jalil, jadi saya perlu berdikari.

"Nama ini dipilih oleh kakak saya kerana saya dan suami kedua-duanya tekong negara," katanya lagi.

 


 

About Author

Muzaffar Musa

Comment