Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, berharap permohonan untuk membolehkan skuad negara menjalani latihan pusat pada 1 Jun diluluskan sebagai persiapan mereka menghadapi Kejohanan Piala Raja Thailand, September depan.

Berikutan wabak novel koronavirus (Covid-19) semakin berleluasa, Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail, menjelaskan keutamaan akan diberi kepada pasukan A selepas badan induk hanya sempat membuat pemilihan bagi pasukan itu.

Dalam usaha mendapatkan ruang menjalani latihan, antara tempat yang menjadi permohonan PSM adalah seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dan MSN, Keramat.

Inisiatif lain adalah pembahagian jurulatih untuk menjaga tiga pemain maksimum bagi penambahbaikan.





"Tujuan kami mahu menyerap mereka dalam latihan pusat adalah sebagai persediaan menghadapi Piala Raja Thailand walaupun kami tidak pasti adakah ia akan diteruskan, ditangguhkan ataupun dibatalkan.

"Kami tidak mahu terperangkap dengan kejutan seandainya Thailand mahu meneruskan kejohanan itu," katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Norhaliza Hamzah.

Dalam pada itu, Ahmad turut menegaskan seandainya Liga Sepak Takraw (STL) 2020 dibenarkan berlangsung, bakal ada perubahan prosedur.

Antaranya, melibatkan pengurangan perlawanan selain tidak penglibatan penonton di dalam dewan.

"Kami bersedia memendekkan pengajuran STL dari 12 kepada 10 minggu.

"Hari perlawanan dicadang diadakan pada Sabtu dan Ahad, tetapi mungkin boleh dijalankan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

"Kalau tempoh penganjurannya perlu dipendekkan, kami boleh mengadakannnya sepanjang empat hari berturut-turut selama enam minggu.

"Kalau begitu, maka kami perlu bekerja lebih keras dan membayar elaun yang lebih tinggi kepada pemain.

"Dalam masa sama, kami akan mengambil langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) sebagai pencegahan penularan Covid-19."