Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) masih menunggu maklum balas presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, mengenai dakwaan yang dibuat ASTAF.

Presidennya, Abdul Halim Kader berkongsi kepada Muiz Aziz bahawa presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, mempunyai 14 hari untuk memberi maklum balas terhadap tuduhan tersebut.

"Bagi pihak ASTAF, kami telah memberikan surat tuduhan kepada pihak PSM. Harapan ASTAF adalah surat tersebut diberikan perhatian," katanya.

Itu perkongsian presiden ASTAF, Halim Kader mengenai dakwaan ASTAF terhadap presiden PSM, Ahmad Ismail yang didakwa melanggar akur janji yang pernah ditandatanganinya 14 Mac 2008.

ASTAF juga mendakwa bahawa presiden PSM, Ahmad Ismail, telah melanggarnya dengan kelakuan dan kata-katanya berhubung kongres pemilihan ASTAF 1 Mac lalu.

Badan induk itu turut mendakwa bahawa PSM turut bakal dikenakan tindakan bagaimanapun ASTAF masih belum membuat keputusan terhadap tindakan tersebut.

"ASTAF sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan kepada PSM kerana tidak menjawab surat mengenai kes presiden PSM tersebut."

PSM turut memberitahu bahawa pihak mereka akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat bagi menjelaskan isu ini.