ASTAF tempelak PSM tidak respons undian Kongres 2021-2025 

By Shaiful Shamsudin 27 February 2021 1242
ASTAF tempelak PSM tidak respons undian Kongres 2021-2025 
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) , Datuk Abdul Halim Kader, membongkarkan bahawa Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak menghantar undian pencalonan bagi kongres mengikut prosedur yang ditetapkan.

Proses pencalonan ditutup pada 11 Februari lalu itu sementara sesi undian berakhir 6 petang semalam sebelum kongres penggal 2021-2025 diadakan 1 Mac depan, namun Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, bingung mengapa badan peneraju Malaysia itu tidak menghantar undian.

Malah, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail -- yang memegang jawatan timbalan presiden ASTAF -- pada minggu lalu mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden.


 

Ahmad Ismail cabar jawatan presiden ASTAF

Posted by Astro Arena on Wednesday, February 17, 2021


Halim sedih dengan perkembangan ini dan ASTAF akan membincangkan tindakan ataupun hukuman yang tepat terhadap tindakan badan induk kebangsaan itu. 

"Saya berpendapat keluarga sepak takraw di Malaysia mengetahuinya. 

"Kenapa PSM tidak membuat pengundian selepas kami memberikan info grafik. Mereka menerima notis pertama kemudian notis kedua (mengenai) bagaimana undian ini dibuat. 

"Semua negara buat termasuk Laos dan Myanmar yang kurang fasih berbahasa Inggeris, faham cara pengundian dalam (situasi penularan) COVID-19 ini. 

"ASTAF akan meneliti dan melihat apakah tindakan yang boleh dilakukan dalam sepak takraw Malaysia," katanya ketika dihubungi. 

Kongres baru itu sepatutnya dijalankan tahun lalu tetapi ditangguhkan berikutan kekangan pandemik berkenaan. 

Di sebalik perebutan kuasa sepak takraw di peringkat Asia, Malaysia dikejutkan dengan kehilangan seorang permata apabila bekas jurulatih sepak takraw negara, Azizuddin Khan, meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Allahyarham pernah membimbing skuad negara meraih dua pingat perak acara regu berpasukan dan antara regu, serta gangsa bulatan dalam Sukan Asia Bangkok 1998.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment