Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, melabelkan perlawanan sukar menentang Melaka United (MU) dalam saingan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam ini sebagai misi wajib menang.

Kelantan tidak mempunyai banyak pilihan kerana sebarang keputusan selain kemenangan boleh menjejaskan harapan TRW untuk mara ke peringkat suku akhir selepas Kedah muncul pasukan pertama layak dengan mengalahkan UiTM FC 1-0 di Stadium Darulaman, malam tadi.

“Perjuangan dalam Piala Malaysia tetap diteruskan biarpun skuad TRW turun tanpa beberapa pemain tonggak yang masih mengalami masalah kecederaan.

"Kekalahan mengejut 0-2 kepada UiTM baru-baru ini menambahkan lagi tekanan kepada pasukan tetapi saya yakin kami mampu bangkit menentang Melaka United, malam ini.

“Kami perlu menewaskan skuad kendalian Eduardo Almeida di gelanggang sendiri kerana perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Kedah di tempat lawan cukup sukar dan mencabar,” katanya.

Zahasmi juga memberi bayangan bakal menggunakan pemain muda daripada skuad The President Warriors (TPW) bagi menampung kehilangan pemain utama dan berharap mereka mampu memberikan aksi terbaik biarpun dihimpit faktor keletihan.

“Saya harap dapat menggunakan khidmat tiga pemain utama skuad TPW seperti penyerang muda, Muhd Danial Ashraf (Abdullah), Nik Azli (Nik Alias) dan Nik Akif Syahiran (Nik Mat) walaupun telah beraksi bersama pasukan kendalian jurulatih, Mohd Hashim Mustapha, semasa seri 2-2 dengan JDT III, Isnin lepas.

“Apapun, kami akan membuat keputusan bersama bergantung kepada keadaan semasa dan perancangan pasukan,” katanya.

Zahasmi juga mengharapkan sokongan padu daripada penyokong setia TRW biarpun prestasi pemainnya kurang memberangsangkan dalam dua perlawanan terakhir.

"Diharapkan penyokong setia terus memberikan sokongan kepada pemain TRW biarpun memahami prestasi semasa Kelantan tidak memuaskan. Kami berjanji akan terus memberikan aksi terbaik mencari kemenangan bertemu Melaka United, sekaligus mengintai peluang layak ke suku akhir Piala Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, dalam Kumpulan C, Kelantan dan Melaka United bersaing sengit untuk muncul pasukan kedua terbaik apabila masing-masing memperoleh enam mata hasil daripada dua kemenangan manakala Kedah sudah layak ke peringkat suku akhir apabila mendapat 12 mata daripada lima perlawanan. Skuad UiTM FC pula tersingkir apabila sekadar memungut tiga mata.